2000: Penyusuan Susu Ibu: Hak Asasi Anda!


Laman Utama

Kami melindungi, mempromosi dan menyokong hak anda untuk menyusu bayi. WABA 2000 Setiap tahun, Persatuan Penasihat Penyusuan Ibu Malaysia (PPPIM) dengan kerjasama World Alliances for Breastfeeding Action (WABA) melancarkan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia dengan tema-tema tertentu yang berkaitan dengan usaha melindungi, mempromosi dan menyokong penyusuan susu ibu sebagai salah satu hak asasi manusia.
2001: Dalam Era Maklumat
1999: Pendidikan Sepanjang Hayat
1998: Pelaburan Terbaik
1997: Anugerah Semulajadi
1996: Tanggungjawab Masyarakat
1995: Memperkukuh Azam Wanita
1994: Tanggungjawab Semua
1993: Ke Arah Persekitaran Rakan Bayi
1992: Membentuk Masyarakat Penyayang
Penyelidikan terbaru mendedahkan dengan jelas bahawa ibu dan bayi berkemungkinan tidak akan mencapai tahap kesihatan yang optimal melainkan wanita menyusu bayi masing-masing secara sepenuhnya selama enam bulan dan meneruskan penyusuan itu bersama dengan pemberian makanan tambahan lain yang berkahsiat selama dua tahun atau lebih. Penyusuan susu ibu adalah hak semua ibu dan hak kanak-kanak untuk mendapatkan makanan, kesihatan serta penjagaan yang sempurna.

Matlamat Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2000

  • Untuk meningkatkan kesedaran mengenai fakta bahawa penyusuan susu ibu adalah hak ibu dan anak;
  • Untuk menyediakan maklumat mengenai mekanisma rasmi dan undang-undang yang wujud di peringkat antarabangsa dan/atau yang sepatutnya wujud di peringkat kebangsaan; dan
  • Untuk merangsang pemikiran orang awam agar menghormati, melindungi, memberi kemudahan dan memenuhi hak ini di semua peringkat samada dalam sesebuah keluarga, kelompok masyarakat atau kerajaan di setiap negara.

Bagaimana penyusuan susu ibu boleh menjadi sebahagian daripada hak asasi manusia?

  • Wanita dan kanak-kanak adalah subjek di dalam satu-satu perjuangan hak asasi manusia (bukan objek kebajikan)
  • Penyusuan susu ibu adalah sebahagian daripada hak asasi manusia : hak untuk mendapatkan makanan yang berkhasiat dan kesihatan yang baik.
  • Penyusuan susu ibu ialah makanan terbaik untuk bayi. Ia meneruskan ciri-ciri perlindungan dan penyuburan yang diterima melalui uri ketika bayi masih dalam kandungan ibu. Ia menyediakan khasiat pemakanan seimbang untuk bayi dan pada masa yang sama bertindak sebagai imuniasasi bagi mengurangkan kemungkinan bayi mendapat penyakit tertentu.
  • Menyusu bayi dengan susu ibu ialah satu langkah penting dalam memberikan penjagaan sempurna kepada bayi di mana ia menyumbang kepada perkembangan dan pertumbuhan psikososial yang sihat.
  • Penyusuan susu ibu dapat memenuhi hak asasi wanita dalam menikmati kesihatan yang baik melalui kurangnya risiko mendapat kanser payudara dan obari, kekurangan zat besi dan keretakan tulang pinggul.

Siapa mempunyai hak?

Setiap wanita mempunyai hak untuk menyusu anak mereka. Kebanyakan kerajaan bertanggungjawab memenuhi hak ini dengan mengiktiraf berberapa instrumen yang telah diperkenalkan di peringkat antarabangsa seperti :-

  • Konvensyen mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)
  • Perjanjian mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan (CESCR),
  • Konvensyen mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW),
  • Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Perlindungan Cuti Bersalin.

Selain daripada itu, Kod Antarabangsa mengenai Pemasaran Susu Formula dan Resolusi-resolusi pada Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) telah diambil sebagai model untuk memperkenalkan pelbagai undang-undang berkaitan susu ibu di kebanyakan negara.

Kenapa perlu menekankan bahawa penyusuan susu ibu adalah satu hak asasi?

Penyusuan susu ibu adalah hak setiap ibu dan sudah menjadi kepentingan untuk memenuhi hak seseorang anak dalam mendapatkan makanan yang berkhasiat dan tahap kesihatan yang tinggi. Penyusuan susu ibu termasuk dalam satu hak asasi manusia berdasarkan fakta bahawa :-

  • Kanak-kanak perlu mendapat makanan yang berkhasiat bagi mempastikan perkembangan yang sihat sejak mula dilahirkan. Ini bermakna mereka perlu diberi susu ibu secara sepenuhnya ¹ dalam tempoh enam bulan pertama dan meneruskan penyusuan beserta makanan tambahan yang lain selama dua tahun atau lebih.
  • Wanita yang ingin menyusu, tidak patut dilarang daripada berbuat demikian.
  • Pihak kerajaan dan semua sektor dalam sesebuah masyarakat perlu bertanggungjawab mempastikan bahawa tidak ada halangan-halangan dikenakan ke atas wanita yang ingin menyusu.
  • Wanita tidak sepatutnya mendapat layanan secara diskriminasi hanya kerana mereka menyusu bayi.
  • Wanita mempunyai hak untuk mendapat khidmat penjagaan sebelum bersalin yang berkualiti dan diberi pelbagai kemudahan yang mesra ibu/mesra-bayi.
  • Wanita perlu bersikap tegas agar mereka tidak didedahkan atau diberi tekanan oleh pengeluar susu formula melalui pengiklanan atau saluran-saluran promosi yang lain.

Penyusuan susu ibu memberikan perlindungan yang unik terhadap banyak penyakit termasuk :

  • Penyakit saluran usus (termasuk cirit-birit )
  • Jangkitan saluran pernafasan (termasuk pnuemonia)
  • Jangkitan telinga (otitis media)
  • Jangkitan saluran kencing

Penyusuan susu ibu sepenuhnya bermakna bayi tidak diberi minuman atau makanan lain selain daripada susu ibu sahaja; bayi juga perlu diberi susu dengan kerap, pada bila-bila masa diminta dan tidak perlu ada jadual menyusu yang tertentu untuk bayi.

Sokongan Terhadap Hak Menyusu

Konvensyen Hak Kanak-Kanak (Artikel 24) menegaskan bahawa adalah menjadi hak kanak-kanak untuk menikmati tahap kesihatan yang paling tinggi, di mana kerajaan perlu mempastikan bahawa mereka mendapat khasiat pemakanan yang baik dan ibu bapa perlu mempunyai maklumat mengenai pemakanan dan kelebihan susu ibu. (191 negara mengambil bahagian dalam konvensyen ini)

Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan melulusan hak untuk mendapat makanan dan kesihatan yang sewajarnya. Berikut ialah petikan daripada Komen Umum nombor 12 mengenai hak mendapat makanan yang sewajarnya. Artikel nombor 11 mengatakan, "perlu ada pengukuran dalam memelihara, mengambil atau memperkukuh kepelbagaian pemakanan dan pola penyusuan, termasuk lah penyusuan susu ibu...""(165 negara mengambil bahagian dalam perjanjian ini)

Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita mengatakan bahawa wanita perlu mendapat perkhidmatan sewajarnya yang berkaitan dengan kehamilan dan penyusuan (penyusuan susu ibu). (165 negara mengambil bahagian dalam konvensyen ini)

Konvensyen Cuti Bersalin ILO No. 3 (1919) dan No. 103 (1952) mengatakan bahawa wanita perlu diberi cuti bersalin bergaji seurang-kurangnya 12 minggu dan waktu rehat menyusu (bergaji) sebaik sahaja mereka kembali ke tempat bekerja selepas melahirkan anak. (33 negara telah mengiktiraf No.3 dan 37 negara telah mengiktiraf No. 103. Sesetengah negara mempunyai peruntukan yang menjangkaui Konvensyen ILO, tetapi masih belum mengesahkannya). Oleh Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2000 (Ogos) : satu kajian semula konvensyen akan diluluskan di Persidangan ILO pada bulan Jun 2000.

Kod Antarabangsa mengenai Pemasaran Susu Formula menghadkan cara bagaimana susu formula, botol susu dan puting botol dipasarkan dan mengutamakan tanggungjawab kakitangan kesihatan dalam usaha mempromosi penyusuan susu ibu. (Kod ini telah menjadi satu undang-undang di 20 negara, perjanjian sukarela di 42 negara dan sebahagian daripada undang-undang di 46 negara)

Konvensyen Antarabangsa adalah satu perjanjian yang mengikat negara-negara mengambil bahagian dari segi tanggungjawab perundangan. Sementara itu, pengisytiharan adalah sesuatu yang tidak mengikat, tetapi mesti dilihat sebagai sesuatu yang dapat mempengaruhi keputusan, atau sekurang-kurangnya sebagai tanggungjawab moral. Ia juga mungkin menunjukkan bahawa wujudnya gerakan yang akhirnya akan membawa kepada satu perjanjian antarabangsa yang mengikat.

Pengisytiharan Innocenti (1990) dan pengisytiharan-pengisytiharan yang terhasil daripada mesyuarat di bawah juga releven dengan isu ini :- ·

  • Persidangan Antarabangsa mengenai Pemakanan (1992)
  • Persidangan mengenai Kependudukan dan Pembangunan (1994)
  • Persidangan Sedunia mengenai Wanita yang ke-4. (1995)
  • Sidang Kemuncak Makanan Sedunia. (1996)

Sokongan Untuk Wanita Menyusu

Adakah kerajaan anda menyokong wanita menyusu? Periksa samada negara anda telah mengiktiraf konvensyen dalam rajah berikut dan bertindak berdasarkan sasaran Innocenti. Untuk maklumat lanjut, lihat laman WEB WABA di www.waba.org.br/countryfiles1.htm

Apakah Hak Asasi Manusia? Hak asasi manusia ialah perkara-perkara asas yang tanpanya manusia tidak dapat hidup dengan maruah sewajarnya. Hak asasi manusia tidak boleh ditukarganti : anda tidak boleh kehilangan hak asasi manusia melebihi daripada menghentikan manusia daripada menjadi manusia. Hak asasi manusia adalah berkait rapat : semua hak asasi manusia adalah sebahagian daripada kerangka yang berkait rapat dengan keperluan-keperluan asas. Hak asasi manusia perlu dimiliki oleh semua orang secara sama rata, tanpa mengira sempadan dan untuk selama-lamanya. Dipetik daripada Hak Asasi Manusia USA.


PERSATUAN PENASIHAT DAN PAKAR LAKTASI MALAYSIA

7A, Jalan Kolam Air, Kg Klang Gate Baru,
53100 Kuala Lumpur
TEL: 03 - 4107 3678 / Faks: 03 - 4107 2862

E-mel: ppplm@susuibu.org / Website: www.susuibu.org