Amalan Etika Untuk Profesional/ Kakitangan Perubatan dan Kesihatan
Laman Utama

Semua Profesional/Kakitangan Perubatan dan Kesihatan hendaklah:-

  1. Menggalakkan semua ibu menyusukan bayi mereka dengan susu ibu selama mana yang mungkin tetapi untuk sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan pertama. Pengurusan penyusuan susu ibu hendaklah bermula semasa mengandung selepas bersalin.
  2. Tidak menerima sebarang Produk Susu Formula Bayi atau sebarang insentif dalam bentuk tunai atau seumpamanya dari Industri Susu Formula Bayi. Penerimaan produk baru Susu Formula Bayi bagi tujuan penilaian oleh Profesional Perubatan dan Kesihatan seperti diperuntukkan di bawah perkara 4.4, bagaimanapun adalah dibenarkan.
  3. Tidak membenarkan pemasaran, paenggalakan dan pengiklanan Produk Susu Formula Bayi di dalam penjagaan kesihatan. Bagaimanapun, pentadbir hospital, doktor perubatan, ahli pemakanan, ahli teknologi makanan, penyelia jenis makanan, ahli farmasi dan penyelia jururawat boleh menerima bahan-bahan saintifik dan pendidikan yang telah ditapis.
  4. Memastikan kakitangan syarikat tidak mempunyai hubungan langsung atau tidak langsung dengan ibu mengandung dan menyusukan anak dan anggota keluarga mereka di dalam sistem penjagaan kesihatan bagi tujuan mempromosi Produk Susu Formula Bayi.
  5. Memastikan kakitangan syarikat tidak meniru nama dan alamat ibu-ibu dar Daftar Kemasukan atau Daftar kelahiran atau dari mana-mana sumber lain di dalam system penjagaan kesihatan.
  6. Tidak menerima sample untuk diri mereka sendiri atau untuk pengedaran semula kepada ibu-ibu mengandung dan menyusukan anak, ibubapa yang mempunyai bayi dan anggota-anggota keluarga mereka.
  7. Pastikan supaya semua Produk Susu Formula Bayi di simpan jauh dari pandangan ibu-ibu.
  8. Tidak memberi keutamaan kepada mana-mana syarikat individu kecualli bagi Formula Khas di atas sebab-sebab tertentu.
  9. Memberi arahan yang perlu untuk penggunaan yang selamat Produk Susu Formula Bayi kepada sejumlah kecil ibu-ibu yang tidak boleh menyusukan bayi dengan susu ibu. Nasihat sedemikian hendaklah diberikan secara individu dan hendaklah memasukkan penerangan yang jelas berkenaan implikasi perbelanjaan dan akibat penggunaan Produk Susu Formula Bayi yang tidak betul apabila digunakan sebagai tambahan atau bagi menggantikan susu ibu.
  10. Tidak terlibat dalam apa jua cara sekalipun dengan pertunjukkan bayi. Sebarang pencabulan Tata Etika ini di hospital, klinik, hospital bersalin dan pusat pengedaran hendaklah di laporkan kepada Jawatankuasa Disiplin Tata Etika Produk Susu Formula Bayi.