Penyusuan Susu Ibu, Mengapa …


Laman Utama

Memantau Kod Antarabangsa Kod Antarabangsa
Menghadapi Kebimbangan Pencemaran Kimia Dalam Susu Ibu

Pemasaran Susu Gantian mula diterimapakai di Perhimpunan Kesihatan Sedunia, Ia bukan satu peraturan wajib antarabangsa ataupun konvensyen tetapi hanya sebagai cadangan kepada negara ahli untuk memasukkan artikel kod ini di dalam undang-undang dan peraturan perdagangan atau kesihatan negara masing-masing. . Hanya setelah kod ini digubal menjadi undang-undang, sesebuah kerajaan boleh menggunakan sistem perundangan untuk melaksanakan keberkesanannya. Setakat ini, pengeluar produk yang tertakluk di bawah kod ini hanya mematuhinya dari segi moral semata-mata.


Cadangan yang termaktub dalam kod ini jelas. Beberapa pihak bertanggungjawab untuk memantau termasuk kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kumpulan professional, institusi dan individu. Bagi memastikan kredibilitinya, proses pemantauan perlu dilakukan oleh pihak yang tidak mempunyai sebarang kepentingan. Pihak ini mesti terkecuali daripada menerima pembiayaan atau kewangan daripada industri yang sedang diawasi. Proses pemantauan mengenai kod antarabangsa ini juga mesti telus, menyeluruh dan terkecuali daripada sebarang pengaruh komersial, kewangan ataupun sebaliknya.

Penyusuan Susu Ibu, Mengapa

  • 1. Satu kajian membabitkan 120 kanak-kanak penghidap xerophthalmia (rabun malam) dijalankan di Nepal. Beberapa faktor berbeza diambil kira seperti taraf kehidupan, status pemakanan berkhasiat dan sejarah penyakit untuk memastikan ada kaitan dengan xerophthalmia. Hasilnya mendapati kanak-kanak yang disusui ibunya jarang terkena penyakit itu. Risiko untuk kanak-kanak yang disusui ibunya mendapat penyakit itu hanya 50 peratus berbanding mereka yang tidak menyusu ibu. Kajian juga mendapati kanak-kanak yang disusui ibunya terus dilindungi daripada penyakit itu walaupun selepas bercerai susu.
  • 2. Ramai yang percaya bahawa cukup atau tidak susu ibu bergantung kepada status pemakanan berkhasiat ibunya. Kajian bagaimanapun menunjukkan bahawa bayi yang disusui ibunya mampu mengetahui sendiri tahap pengambilan susu. Kajian membabitkan 141 wanita berpendapatan rendah di Honduras menunjukkan bahawa indeks jisim tubuh mereka yang mempengaruhi berat badan bayi. Semakin berat bayi, lebih banyak susu ibu yang dihisap. Indeks jisim tubuh ibu juga tidak membuktikan bahawa dia boleh mengeluarkan susu ibu yang lebih banyak.
  • 3. Kajian yang dijalankan sejak sekian lama di Finland menunjukkan bahawa penyusuan susu ibu boleh melindungi bayi daripada sebarang alahan sepanjang zaman kanak-kanak dan dewasa. Kajian yang membabitkan 150 kanak-kanak dan dijalankan selama 17 tahun menunjukkan bahawa bayi yang tidak disusui ibunya atau disusui kurang daripada sebulan kerap diserang alergi. Sejumlah 65 peratus kanak-kanak yang tidak disusui ibunya mengalami alergi pernafasan pada usia 17 tahun berbanding hanya 30 peratus daripada yang disusui ibu lebih daripada enam bulan.

APA ITU WABA ?
Satu nama yang menarik tetapi apa maknanya? Waba ialah World Alliance for Breastfeeding Action iaitu satu rangkaian global untuk pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menggalak, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu. WABA percaya penyusuan susu ibu adalah hak setiap ibu dan anaknya. Pada masa ini NGO adalah kuasa penggerak di belakang kumpulan sokongan penyusuan susu ibu, berusaha melaksanakan kod antarabangsa, pertukaran maklumat dan latihan untuk pekerja dalam sektor kesihatan. Bagaimanapun, ada ketikanya beberapa pertubuhan menjalankan kerja bertindih dan WABA ditubuhkan untuk menyelaras semua itu. Bagi mencapai matlamatnya, WABA menubuhkan 9 pasukan khas untuk menyelaras beberapa bidang seperti gerakan sosial, pertukaran maklumat, penyelidikan, amalan penjagaan kesihatan, wanita dan kerja, mematuhi kod, pendidikan dan latihan serta kumpulan sokongan ibu. Organisasi atau individu yang ingin mengalakkan penyusuan susu ibu boleh menyertai WABA dan menyertai mana-mana pasukan yang dipilihnya. Sesiapa yang percaya bahawa makanan berkhasiat adalah hak asasi setiap manusia dan susu ibu pula kaya khasiat dialu-alukan menyertai WABA. Untuk maklumat lanjut, bolehlah menulis kepada Sekretariat WABA, P.O.Box 12000, 10850 Pulau Pinang. Malaysia.

Penyusuan Susu Ibu, mengapa…

  • 1. Bimbang penularan AIDS melalui susu ibu adalah ancaman kepada penyusuan susu ibu. Sudah ada berita di beberapa negara maju mengenai ibu pembawa virus HIV + dinasihat tidak menyusu anak mereka. Kajian menunjukkan ada bukti bahawa virus HIV+ boleh menular kepada anak menerusi susu ibu pembawa virus HIV+.. Bagaimanapun, kajian itu adalah terlalu sedikit dan tidak adil untuk membuat rumusan atau menjadikan ia sebagai satu dasar umum menentang penyusuan susu ibu oleh ibu HIV+. Pengkaji di Tanzania cuba membuat kajian mengenai kesan ke atas kadar kematian kanak-kanak jika nasihat itu dipatuhi oleh negara Afrika. Pengkaji menggunakan ciri-ciri demografik, kadar jangkitan HIV dan kesan ke atas kematian bayi yang disusui ibu vs susu botol. Hasil rumusan kajian mereka mendapati lebih ramai bayi yang akan mati kerana tidak disusui ibunya daripada terkena penyakit AIDS.
  • 2. Pengkaji di Bangladesh cuba membandingkan kadar penyusuan susu ibu ke atas 116 bayi yang diserang taun yang teruk dengan 464 bayi yang tidak begitu serius. Mereka mendapati 47 peratus daripada bayi yang diserang taun yang serius ialah bayi yang disusui ibunya dan 69% daripada bayi sihat juga disusui ibunya. Manakala, semua bayi yang sakit tidak pernah diberi penyusuan susu ibu secara eksklusif. Penyusuan susu ibu mengurangkan 70 peratus risiko terkena serangan taun yang serius. Itu menunjukkan penyusuan susu ibu boleh memberi kesan pelindung kepada bayi daripada serangan taun.
  • 3. Satu kajian kelahiran di bandar Sheffield, Great Britain dari 1979 hingga 1988 menunjukkan satu aliran yang terganggu. Kajian ini membabitkan sejumlah 55,000 ibu yang melahirkan anak di tiga wad bersalin di Sheffield. Pada 1981 menunjukkan 70 peratus daripada ibu berkenaan berniat menyusukan anak tetapi hanya 40 peratus yang benar-benar berbuat demikian. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 36 peratus berbanding 1979. Pada 1988 kadar peratus mereka yang berniat menyusukan anak menurun 10 peratus, manakala yang benar-benar menyusukan anak pula turun 8 peratus. Kajian juga menunjukkan mereka yang berniat menyusukan anak ada kaitan dengan pendidikan. Ibu yang mendapat pendidikan sehingga berusia 18 tahun dengan mereka yang lebih 18 tahun juga jelas ada perbezaan. Pada 1988, ibu yang mendapat pendidikan lebih 18 tahun mencatat 91 peratus ingin menyusukan anak berbanding 57 peratus oleh ibu yang berpendidikan kurang 18 tahun. Pengkaji berpendapat perbezaan yang besar di antara berniat menyusukan bayi dengan benar-benar menyusu anak adalah kerana kekurangan galakan dan promosi secara profesional.. Bagaimanapun mereka gagal mengenalpasti alasan penurunan penyusuan susu ibu berbekalkan sampel berkenaan.

KONFLIK DIRI
Pembiayaan persidangan saintifik oleh industri susu bayi dan farmasi adalah topik yang hangat dibicarakan pada masa ini. Industri ini tidak akan memberi wang tanpa sebarang kepentingan. Lazimnya, iklan-iklan produk keluaran industri berkenaan begitu besar dipamer di dewan persidangan, cuma mereka tidak diberi peluang untuk memilih penceramah atau mengubahsuai kandungan isi ceramah dan bengkel. Pada 1993, negara Eropah mengubal undang-undang untuk mengawal penajaan persidangan oleh industri berkenaan. Walaupun undang-undang dan arahan ini longgar dan terbuka kepada pelbagai interpretasi, beberapa pegawai kerajaan berpendapat ia cukup sebagai alat untuk membuat doktor berfikir sebelum menerima hadiah. IBFAN juga sudah membuat draf kenyataan mengenai penajaan oleh syarikat pengeluar susu formula yang ada kaitan dengan pemakanan bayi. Rasionalnya, pekerja sektor kesihatan memainkan peranan penting membimbing amalan penyusuan bayi dan penjagaan kesihatan ke arah kebaikan bukan digunakan sebagai saluran promosi untuk produk penyusuan bayi. Bagaimanapun, aliran terkini menunjukkan lebih ramai pekerja dari sektor kesihatan sudah menyedari hal itu dan menolak penajaan daripada syarikat yang ada kepentingan diri. IBFAN percaya bahawa mana-mana persidangan atau mesyuarat yang ada hubungkait dengan kesihatan dan pemakanan berkhasiat bayi dan kanak-kanak tidak boleh dibiayai oleh syarikat pengeluar atau pemasaran produk bayi atau kanak-kanak. IBFAN akan terus berusaha menggalak ahli professional untuk memastikan setiap perjumpaan mereka bebas daripada pengaruh komersial. Konflik itu timbul apabila ahli profesional kesihatan menerima sokongan kewangan daripada industri yang menjual produk yang boleh memberi kesan kepada kesihatan kanak-kanak. Kepentingan pesakit sewajarnya dijadikan penggerak dalam membentuk sikap profesional dan membuat keputusan, bukan kepentingan diri.

Penyusuan Susu Ibu, mengapa …

  • 1. Penyusuan susu ibu bukan saja penting untuk bayi tetapi juga boleh meningkatkan kesihatan ibu. Satu hasil yang memberangsangkan dibentang di dalam kajian risiko kanser payudara di UK. Sejumlah 755 wanita muda di bawah usia 36 tahun dikesan menghidap kanser payu dara berbanding hanya separuh daripada jumlah itu daripada kalangan yang menyusukan anak lebih tiga bulan.
  • 2. Pengkaji di Arizona membuat kajian ke atas bayi baru lahir hingga 12 bulan mengenai penyusuan dan jangkitan telinga (otitis media). Daripada 1,013 bayi yang terbabit, 47 peratus pernah mengalami otitis media sekurang-kurangnya sekali dan 17 peratus lagi lebih daripada sekali. Bayi yang disusui ibunya secara eksklusif sekurang-kurangnya 4 bulan jarang dijangkiti berbanding yang tidak disusui ibu. Mereka yang diberi susu ibu secara eksklusif sekurang-kurang 4 bulan hanya menghadapi 40 peratus deman jangkitan telinga berbanding mereka yang sudah diberi makanan tambahan sebelum berusia 4 bulan. Kadar jangkitan semula juga sama bagi mereka yang disusui ibunya atau yang tidak disusui ibunya.
  • 3. Bayi kurang berat badan lazimnya diberi makanan tambahan. Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa susu ibu melindungi bayi daripada pelbagai penyakit yang serius. Seramai 118 bayi kurang berat badan di Mexico diberi susu berformula atau susu ibunya. Kajian menunjukkan bayi yang diberi susu formula 13 kali lebih mudah diserang penyakit seperti necrotising enteerocolitis dan 5 kali mudah terkena jangkitan kencing. Mereka juga 9 kali lebih mudah diserang diarea dan 2.3 kali memerlukan pertukaran darah. Walaupun kenaikan berat badan bayi yang disusui ibunya perlahan tetapi terbukti mereka lebih sihat dan terlindung daripada jangkitan penyakit.

HYPO…APA?
Lebih 50 tahun bayi yang tidak disusui ibunya dan alah dengan protein susu lembu diberi makan formula semi-elemental. Protein lembu dalam formula ini dipecahkan menjadi amino asid supaya sistem imunisasi bayi tidak memberi tindak balas terhadapnya. Formula ini mahal dan kurang sedap. Nasib baik, masalah alahan dengan susu lembu amat sedikit (kira-kira 3 7 %) jadi hanya segelintir bayi yang perlu diberi minum susu gantian seperti ini. Beberapa tahun lalu pengeluar susu bayi di Eropah mula memperkenalkan formula baru dalam pasaran yang mereka namakan 'hypoallergenic'. Pengeluar mendakwa bahawa formula itu boleh mengelak bayi daripada ancaman alahan. Itulah sebabnya diberi nama 'hypoallergenic'. Dalam formula ini protein lembu tidak dipecahkan sebanyak formula semi-elemental jadi kanak-kanak yang alah dengan susu lembu lazimnya masih tidak sesuai dengan formula itu. Malah, ada beberapa kes bayi nyaris maut selepas minum formula 'hypoallergenic' yang memasuki pasaran Amerika. Kesannya Pengurusan Dadah Kebangsaan Amerika meminta syarikat pengeluar membuang perkataan 'hypoallergenic' daripada label susu bayi. Dalam beberapa kajian yang dijalankan oleh pengkaji persendirian mendapati susu formula 'hypoallergenic' tidak terbukti dapat mengelak bayi daripada alahan, sesetenghnya tidak mengandungi zat makanan mencukupi dan darah bayi yang diberi susu ini menunjukkan wujud profil darah asid amino yang tidak normal. Cara terbaik untuk mengelak alahan ialah penyusuan susu ibu secara eksklusif selama enam bulan, elak merokok dan lewatkan pemberian makanan pepejal. Susu ibu adalah makanan 'hypoallergenic' yang terbukti.

Kes 1
Kajian kematian bayi semasa tidur di jalankan di New Zealand untuk mengenalpasti faktor sebenar kepada masalah sindrom kematian bayi secara mengejut (SIDS). Kajian ini membabitkan 78% daripada semua kelahiran di New Zealand dalam tempoh 3 tahun.. Ia turut menganalisa 356 kes kematian bayi secara mengejut dan 1,529 bayi sihat. Penyusuan susu ibu di dapati ada kaitan dengan kekurangan risiko SIDS. Tempoh penyusuan juga diambil kira dan dianggap sangat mustahak. Kajian juga mendapati 86 peratus daripada kes SIDS adalah bayi yang tidak diberi susu ibu. Risiko bayi yang tidak disusui ibunya mengalami SIDS juga kekal apabila diambil kira faktor sosial, ekonomi dan demografik.

Kes 2
Seramai 152 kanak-kanak berusia 12 - 36 bulan yang dimasukkan ke hospital dikenalpasti mengalami masalah kurang zat makanan berbanding mereka yang menghisap susu ibunya. Di Burkina Faso semua kanak-kanak diberi penyusuan susu ibu selama 12 bulan dan ¾ daripadanya hanya bercerai susu pada usia 24 bulan. Hasil menunjukkan kanak-kanak yang tidak disusui ibunya menghadapi risiko tiga kali ganda masalah kurang zat makanan. Alasan yang diberikan ialah :

    • 1. Zat yang ada dalam susu ibu boleh melindungi kanak-kanak daripada kekurangan khasiat makanan.
    • 2. Ciri-ciri pelindung yang ada dalam susu ibu boleh melindungi kanak-kanak daripada sakit yang boleh mengganggu status pemakanan berkhasiat.
    • 3. Kanak-kanak yang menyusu ibunya masih dapat menerima susu ibu walaupun menolak makanan lain. Justeru itu, kanak-kanak yang diberi penyusuan susu ibu masih mendapat khasiat pemakanan mencukupi walaupun kurang sihat.

Kes 3
Di Porta Alegre, Brazil, punca jangkitan utama yang menyebabkan kematian bayi ialah jangkitan pernafasan. Kajian menggunakan sampel 510 kanak-kanak yang didiagnos menghidap pneumonia dan 510 kanak-kanak sihat. Kajian itu turut mengambil kira faktor seperti persekitaran rumah, pendidikan ibu bapa dan cara penyusuan. Hasil menunjukkan kanak-kanak yang diberi susu gantian menghadapi tiga kali ganda diserang pneumonia berbanding mereka yang menyusu ibu. Susu lembu dan formula tiruan lain juga menunjukkan tiga kali ganda risiko bayi diserang pneumonia.

Kes 4
Pengkaji di Minnesota (AS) membuat satu kajian membabitkan 619 ibu bekerja yang baru mempunyai anak pertama. Sejumlah 80% daripada 619 wanita itu kembali bekerja selepas 12 minggu bersalin, 48 % terus menyusui anak mereka. Kajian itu mendapati wanita bekerjaya yang menyusu anak mereka adalah dalam lingkungan usia lebih tua, berpendidikan lebih tinggi, masa kerja yang lebih singkat dan balik bekerja lebih awal berbanding mereka yang tidak menyusui anak. Daripada 288 wanita yang bekerjaya tetapi terus menyusu anak, 103 memberi susu ibu secara eksklusif kepada bayi masing-masing selama 8 minggu selepas balik bekerja. Rata-rata mereka berpendapat, memberi anak susu ibu lebih mulia dan patut dicontohi oleh semua wanita yang menyayangi bayi mereka.