Sokongan Bapa


Laman Utama

Walaupun tidak boleh menyusu, peranan bapa tidak kurang pentingnya dalam usaha mempastikan bahawa penyusuan susu ibu dapat diteruskan dengan jaya, sehingga lah bayi membesar dengan sepenuhnya. Jika anda seorang bapa, jangan memandang ringan terhadap penyusuan susu ibu. Anda mungkin orang yang paling bertuah jika isteri anda memilih untuk menyusu anak dengan susu ibu. Anda tidak perlu lagi bergilir-gilir bangun malam untuk menyediakan susu botol.

Apabila Ahli Keluarga Semakin Bertambah
Panduan Untuk Bapa
Sokongan Nenek
Sokongan Nenek: Amalan Dahulu dan Sekarang
Sokongan Nenek: Mengapa Menyusu Susu Ibu?

Anda juga boleh keluar makan angin, malah boleh pergi berkhemah tanpa membawa banyak barang keperluan seperti susu formula, botol, termos air panas, air masak dan sebagainya. Susu ibu sentiasa ada dalam tubuh isteri anda dengan jumlah, rumusan dan suhu yang mencukupi. Susu ibu juga mudah diminum pada bila-bila masa dan amat murah. Dengan wang membeli susu formula yang dapat dijimatkan itu, anda mungkin dapat membeli kelengkapan rumah yang baru setiap enam bulan.

Bayi anda juga akan berbau harum kerana bayi menyusu susu ibu kurang mengalami muntah-muntah berbanding bayi yang diberi susu lembu yang sukar hadam. Najis bayi pula tidak terlalu melekit atau keras. Kajian menunjukkan bahawa bayi menyusu susu ibu akan menjadi lebih sihat dan kurang terkena alahan. Dengan cara ini, bayangkan betapa banyak kos rawatan doktor yang dapat anda jimatkan. Bil doktor gigi juga dapat dijimatkan kerana bayi menyusu susu ibu akan mempunyai gigi yang kuat dan sihat.

Susu manusia adalah makanan yang sempurna untuk perkembangan bayi manusia. Susu yang dikeluarkan oleh setiap spesis mamalia mempunyai keperluan khusus berdasarkan sifat semulajadi mamalia terbabit

Contohnya, susu yang dihasilkan oleh ibu serigala laut amat kaya dengan lemak kerana bayi serigala laut perlu berada dalam keadaan panas. Kerana mereka tinggal di kawasan bersuhu sejuk, susu serigala laut adalah yang paling kaya dengan lemak dan berkrim. Dalam contoh lain, susu arnab amat kaya dengan protin kerana bayi arnab perlukan kekuatan untuk berlari sebagai satu cara mempertahankan diri dari musuh. Bayi lembu pula perlukan kekuatan untuk berdiri. Jadi, bayi lembu memerlukan otot yang kuat. Susu lembu amat ideal untuk membina tisu-tisu otot yang kuat. Dalam kes manusia, kita adalah mamalia yang menggunakan kuasa minda untuk terus hidup dan menjalankan tugas-tugas harian. Oleh itu, susu manusia amat seusia untuk membina saraf-saraf otak dan saraf lain.

Selain itu, kebaikan lain yang anda perolehi ialah dada isteri anda akan kelihatan lebih menarik apabila dia sedang menyusu susu ibu. Penyusuan susu ibu secara ekslusif amat membantu untuk menjarakkan kehamilan. Seseorang ibu tidak perlukan pil perancang dalam tempoh enam bulan selepas kelahiran bayi. Ini kerana wanita yang menyusu susu ibu sepenuhnya tidak akan didatangi haid dalam tempoh berkenaan. Ini adalah alasan yang sangat kukuh mengapa isteri anda patut menyusu bayi anda. Apa pun, dalam konteks ini, yang paling penting ialah kemahuan dan keinginan isteri untuk menyusu. Keinginannya berpunca daripada perasaan keibuan semulajadinya. Dia akan mendapat kepuasan dan keseronokan ketika memangku bayinya, membelai dan menyusukan susu dengan susu yang mengalir dari tubuhnya sendiri. Bayangkan kepuasan yang dikecapi oleh seorang ibu yang mengandung dan melahirkan bayi anda. Justeru itu, sokongan anda terhadapnya amat-amat diperlukan.

Jika isteri anda mendapat kepuasan hasil dari penyusuan susu ibu, kasih sayangnya akan bertambah, bukan sahaja terhadap bayi malah melimpah kepada anda juga. Mungkin kasih sayangnya akan bertambah berbanding sebelum ini. Jangan biarkan dia tertekan kerana keputusan untuk menyusu dihalang oleh anda. Sekiranya anda memberi kebenaran dan menyokong usahanya dengan rela hati, anda juga akan mendapat kepuasan, lebih-lebih lagi setiap kali melihat betapa eratnya hubungan antara isteri dan anak anda. Hubungan kasih sayang, sentuhan dan belaian mesra antara mereka berdua, mungkin akan turut mendamaikan jiwa anda.

PERANAN SEBAGAI SUAMI DAN BAPA

Dulu, anda mungkin seorang suami. Sekarang - sejak kelahiran si comel kesayangan anda itu - peranan anda bertambah menjadi dua iaitu suami dan bapa. Anda perlukan beberapa perubahan dan penyesuaian kerana memikul dua tanggungjawab sekali gus. Menyesuaikan diri daripada status bujang kepada status suami mungkin tidak sesukar menyesuaikan diri daripada status suami kepada status bapa. Tugas bapa amat berat dan mencabar. Tapi, secara semulajadi, anda pasti mampu menyesuaikan diri dengan tugas-tugas berkenaan.

Pada peringkat awal, bayi amat bergantung kepada ibunya. Seseorang bayi itu langsung tidak tahu berdikari dan amat-amat bergantung kepada orang dewasa. Dahulu, isteri anda mungkin meluangkan banyak masa melayan anda. Tapi, dengan adanya bayi kecil yang lemah itu, dia tidak lagi mempunyai masa untuk melayan anda seperti dahulu. Oleh itu, anda perlu memahami dan memberi peluang kepada bayi untuk mendapat layanan sepenuhnya dari isteri anda. Sebagai seorang yang matang dan dewasa, jangan terlalu meminta-minta dari isteri. Sebaliknya, banyakkan memberi. Hulurkan bantuan sepenuhnya, baik kepada isteri mahupun kepada bayi. Jika anda berjaya menghilangkan sifat pentingkan diri sendiri, anda akan lebih berasa tenang. Anda juga akan dapat berasakan betapa isteri amat menyayangi anda lebih dari sebelum ini, jika anda banyak memberi dan menyokongnya.

Kebanyakan lelaki mungkin terasa cemburu bila melihat isteri berlebihan memberi perhatian kepada anak-anak berbanding dirinya. Sesetengah perasaan ini mungkin berpunca dari kasih sayang yang kurang dikecapi ketika zaman kanak-kanak dahulu. Dari segi psikologi, keadaan ini akan memberi kesan secara halus dalam perkembangan keperibadian seseorang sehingga dia matang dan dewasa. Sebagai bapa, cuba kenalpasti perasaan seperti ini dan hindarkan kerana ini akan memberi kesan negatif kepada hubungan kekeluargaan anda.

Kadang-kadang anda berasa bosan bila melihat isteri terlalu memanjakan anak. Mungkin anda mencadangkan agar isteri membiarkan anak itu menangis sendirian sehingga reda tangisannya. Atau menyuruh isteri menghantar anak kepada pengasuh ketika hendak keluar makan angin atau membeli-belah bersama isteri. Jika perasaan begini timbul dalam sanubnari anda, cepat-cepat ingatkan diri anda bahawa sikap bayi yang terlalu meminta-minta seperti ini adalah sementara. Namun, walaupun sementara, kesan pengabaian ketika masih bayi akan kekal dalam perkembangan sahsiahnya buat selama-lamanya. Bayi yang diabaikan ketika dalam buaian lagi, akan membesar menjadi seseorang individu yang tidak begitu ceria dan bahagia. Ia tidak akan mempunyai sahsiah yang sihat serta positif berbanding bayi yang keperluannya dilayan dengan sepenuhnya dari hari pertama kelahiran sehingga tahun-tahun awal pembesarannya. Dalam masa yang sama, anda mungkin mendapat hikmah di sebalik kelahiran bayi ini. Mungkin kelahiran bayi ini akan lebih mendewasakan anda. Anda lebih banyak berkorban dan menerima hakikat bahawa anak lebih perlukan belaian dan sentuhan kasih sayang. Anda juga akan mulai menerima kenyataan bahawa cara hidup anda dan pasangan anda akan berubah dengan kelahiran si comel itu.

Selain terpaksa berperang dengan perasaan dan gangguan-gangguan akibat tangisannya, anda juga terpaksa ringan tulang dalam membuat kerja-kerja rumah serta memasak. Anda perlu ingat bahawa adalah mustahil bagi seorang isteri untuk menjaga anak, melayan suami dan pada masa yang sama mempastikan rumah kemas bersih atau makanan sentiasa terhidang di atas meja. Jika isteri terlalu menumpukan perhatian untuk mengemas rumah dan memasak makanan yang sedap-sedap, dia mungkin kurang mempunyai masa untuk membelai bayi dan melayan anda. Ingatkan pada diri anda bahawa rumah dan barang-barang di dalamnya adalah untuk keselesaan ahli keluarga anda. Bantu lah isteri dalam kerja-kerja yang patut dan boleh anda lakukan. Jika mampu, beli lah peralatan rumah yang moden yang boleh meringankan kerja-kerja rumah. Semakin banyak masa isteri anda dapat dijimatkan dalam membuat kerja-kerja rumah, semakin banyak lah masa yang dapat diluangkannya bersama anda dan anak-anak.