Apabila Ahli Keluarga Semakin Bertambah


Laman Utama

Bapa boleh menajdi jambatan penghubung antara kanak-kanak dengan ibunya dan dengan dunia ini. Pada peringkat awal, bayi amat bergantung kepada ibunya. Ini lah proses permulaan ke arah pembentukan sikap sosial yang baik. Pertama, seseorang itu menjalinkan hubungan yang kukuh dengan ibunya. Langkah kedua, dia mula belajar mengenal bapa. Kemudian, baru lah adik-beradik yang lain. Ini lah peringkat-peringkat normal dalam perkembangan bayi menuju ke arah kematangannya

Sokongan Suami/Bapa
Panduan Untuk Bapa
Sokongan Nenek
Sokongan Nenek: Amalan Dahulu dan Sekarang
Sokongan Nenek: Mengapa Menyusu Susu Ibu?

Peringkat-peringkat ini kadang kala tidak difahami oleh seorang bapa. Bapa berasa cemburu melihat bayi lebih mahukan ibunya jika meragam atau menghadapi masalah. Bagaimanapun, jika anda turut mengambil bahagian dalam menjaga dan membesarkannya, dia akan lebih cepat melangkah ke peringkat kedua iaitu peringkat mengenali bapa.

Perkembangan sosialnya akan lebih pantas sebaik sahaja dia mula membentuk satu hubungan yang kukuh dengan anda. Ini lah asas kepada perkembangan sosial yang sihat bagi seseorang bayi. Daripada asas ini, ia akan berkembang kepada hubungan kukuh antara adik-beradik yang lain.Kemudian, berkembang pula kepada kawan-kawan.

Jadi, apabila dia mula menjejak kaki ke alam persekolah, dia tidak lagi berasa kekok untuk bergaul sesama rakan dan orang yang tidak dikenali sebelum ini.Di sekolah, dia akan menjadi lebih bijak untuk menanangi situasi yang berkaitan dengan hubungan sosial. Di sini, anda akan dapat melihat perkembangan sosialnya berlaku secara perlahan-lahan tanpa paksaan. Yang penting, jangan memaksa atau menekannya dari segi hubungan sosial. Biarkan kemahiran bersosial anak anda berkembang dengan sendirinya sehingga dia matang. Anda mungkin berbangga bila melihat kemahiran sosialnya apabila dia meningkat dewasa kelak. Apabila anda dikurniakan cahaya mata lagi, anak anda yang lain pula terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi baru - sama seperti keadaan anda ketika mula-mula mendapat mereka dahulu.

Tapi, keadaan kakak atau abang tidak sama dengan keadaan anda. Anda sudah matang dan dewasa. Tetapi mereka masih kecil dan masih belum mengerti akan hubungan antara ibu menyusu dengan bayi yang masih merah itu. Pada masa ini lah, kakak atau abang akan cemburu terhadap perhatian dan belaian berlebihan si ibu terhadap adik mereka. Waktu ini, tanggungjawab anda menjadi lebih berat. Adalah menjadi tugas anda untuk menumpukan perhatian kepada mereka agar mereka tidak terasa diabaikan. Ini lah masa yang sesuai untuk anda memperkukuhkan hubungan dengan anak-anak yang lebih besar.

Anda sudah tahu bahawa bayi baru lahir amat bergantung sepenuhnya kepada ibu masing-masing. Jadi, abang atau kakaknya juga perlu diberitahu akan hal ini. Terangkan kepada mereka, sebelum bayi lahir lagi iaitu semasa di peringkat awal kehamilan isteri anda. Jika anak anda berusia setahun atau dua tahun, cuba berbual dengannya dan tekankan betapa dia kini sudah besar dan akan menjadi kakak atau abang. Kata-kata seperti "kakak sudah besar" mungkin membantu dia mendapat idea mengenai siapa dirinya apabila ibunya bersalin kelak. Kini, perhatian isteri anda semakin berbelah bahagi antara anak kecil, anak yang besar dan diri anda sendiri.

Namun, keutamaannya ialah pada bayi yang masih merah. Jadi, anda perlu tekankan kepada anak-anak lain akan kelebihan dan kebolehan mereka berbanding bayi kecil yang tidak berbuat apa-apa itu. Bila mereka berjaya melakukan sesuatu, puji pencapaian mereka itu berbanding bayi kecil yang masih dalam buaian. Cara ini membuatkan anak anda bangga dan tidak terasa diketepikan. Apa pun, isteri anda tetap perlu mendampingi anak anda itu. Jadi, sekali lagi anda terpaksa berkorban dengan membantunya membuat kerja rumah atau memasak sendiri makanan kegemaran anda. Pada masa yang sama, kanak-kanak berusia antara setahun hingga tiga tahun amat gemar meniru perbuatan orang lain. Mereka sering meniru perbuatan ibu, bapa dan anak-anak lain. Dengan kelahiran bayi, dia mula meniru apa yang bayi lakukan.

Mungkin dia mula menghisap jari semula, ingin tidur dalam buaian atau mandi dalam bekas mandi bayi. Dalam kes ini, cuba jangan melarang atau bersikap kritikal. Sebaliknya, bersikap lah dengan sikap lembut dan penyayang, demi menjaga perasaan perkembangan keperibadian untuk jangka panjang. Dari segi jangkapanjang, kanak-kanak yang tertekan akibat layanan yang keras akan membentuk keperibadian yang keras dan negatif.

Memandangkan ibu amat sibuk pada waktu ini, bapa boleh mengambil alih tugas ibu dan jangan lupa untuk mencium, mendukung atau mententeramkan mereka jika mereka menangis. Jika mendapati ada kesan luka dan lebam akibat kenakalan mereka, ciuman pada kesan itu mungkin akan membuatkan mereka gembira. Bagi lelaki, jangan malu untuk menonjolkan sifat kasih sayang. Gabungan sikap lembut dan maskulin akan memberi kekuatan yang sebenar kepada anda. Amat penting untuk anda agar bersabar dan lemah lembut terhadap anak-anak ketika isteri baru bersalin. Kadang kala, ibu baru bersalin masih terasa letih dan kecewa kerana tidak dapat menguruskan tugas-tugasnya dengan sempurna. Kadang kala, dia tertekan dengan karenah anak-anak lain yang nakal. Di sini lah pentingnya peranan seorang bapa. Anak-anak amat perlukan bapa pada waktu ini. Sentiasa peluk dan tunjukkan kasih sayang kepada mereka.

Sabar jika mereka menunjukkan karenah yang tidak menyenangkan. Mereka masih lagi budak. Memang begitu perangai budak-budak. Kebapaan ialah puncak kepada kelelakian seseorang. Menjadi bapa ialah sesuatu yang dianggap kemuncak kepada kebolehan seseorang lelaki. Juga menjadi kebanggaan orang lelaki. Oleh itu, berbangga lah menerima kehadiran cahaya mata dan jangan menyesal sekiranya anda terpaksa mengutamakan keluarga, melebihi kerjaya anda.

Dengan cara mendampingi anak-anak, pada masa yang sama anda mungkin dapat mendampingi isteri anda. Jika ingin bersamanya, tumpukan perhatian terhadap apa yang dilakukannya. Jika anda kerap mendukung dan membelai bayi, anda tidak akan terasa berjauhan daripada isteri. Malah, cara ini akan lebih merapatkan hubungan serta kasih sayang antara kamu berdua. Masa terlalu pantas berlalu. Tempoh hayat anda amat pendek. Tanpa disedari, anak yang masih dalam buaian, tiba-tiba sahaja bertukar menjadi seorang remaja atau dewasa yang berdikari. Waktu itu, mungkin mereka tidak perlukan perhatian anda lagi.

Oleh itu, tumpukan perhatian pada mereka sekarang. Jika anda gagal berbuat demikian, mereka akan membesar dengan perasaan marah, kecewa atau sakit hati terhadap anda. Mereka akan kurang menghormati anda sebagai bapa. Setiap minit yang anda luangkan untuk anak anda sekarang adalah dianggap sebagai pelaburan untuk masa depan. Jika anda banyak memberi pada waktu ini, anda akan berasa puas untuk sepanjang hayat, terutama pada waktu-waktu anda meningkat tua kelak. Ingat lah! Masa untuk memberi amat pendek berbanding masa untuk menikmati hasil daripada pengorbanan anda sebagai bapa!

Rencana ini ditulis oleh seorang bapa, David Stewart dalam risalah terbitan LA LECHE LEAGUE INTERNATIONAL, INC.
Terjemahan oleh Maizura Mohd Ederis
.