Sokongan Nenek


Laman Utama

Anda mungkin baru saja bergelar nenek. Atau mungkin akan bergelar nenek tidak lama lagi. Apa pun, sebagaimana anak atau menantu anda, anda juga pasti sibuk dengan kehadiran si kecil comel yang bakal mewarnai kehidupan anda kelak. Yang pasti, anda mulai merasakan betapa banyak perkara "telah berubah", terutama dalam soal penjagaan bayi.Anda mungkin berdepan dengan idea-idea dan cara hidup yang lebih "moden" berbanding cara anda dahulu. Jika dahulu, anda tidak bekerja, tapi kini anak atau menantu anda mungkin akan kembali ke tempat kerja sebaik sahaja habis tempoh berpantang. Jika dahulu, anda tidak pernah menghadiri atau mendengar mengenai kelas persediaan bersalin, kini anda mungkin melihat anak atau menantu menghadiri kelas persediaan bersalin atau kelas keibubapaan.
Sokongan Suami/Bapa
Apabila Ahli Keluarga Semakin Bertambah
Panduan Untuk Bapa
Sokongan Nenek: Amalan Dahulu dan Sekarang
Sokongan Nenek: Mengapa Menyusu Susu Ibu?


Cara membesarkan bayi banyak mengalami perubahan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Di samping fesyen baju bayi yang kerap berubah, cara pemakanan, penyusuan bayi, jenis imunisasi dan carta berat badan bayi juga turut berubah. Cara penjagaan bayi masa kini kelihatan lebih mudah dan rileks berbanding cara dahulu. Bagaimanapun, tidak ada sesiapa yang dapat mengesahkan bahawa cara sekarang lebih baik dan cara dahulu adalah tidak baik.

Oleh itu, laman ini dihasilkan bagi menerangkan beberapa perbezaan antara amalan dahulu dan amalan sekarang. Semoga dengan adanya rencana ini, anda tidak begitu terkejut bila anak anda bercakap mengenai idea baru seperti "menyusu apabila bayi mahukan susu" sedangkan anda masih teringat bahawa pada zaman anda dahulu, anda diingatkan agar "menyusu mengikut jadual tertentu".

PERSEDIAAN DAN PENJAGAAN PUTING PAYUDARA
Sejak akhir-akhir ini, terdapat penekanan terhadap pentingnya ibu hamil membuat persediaan menyusu dengan menjaga puting payu dara. Ibu dinasihatkan mengurut payu dara dengan perlahan dan lembut. Puting yang tenggelam perlu lebih perhatian. Dahulu, ibu yang mempunyai puting tenggelam mungkin tidak boleh menyusu dengan baik. Tapi kini, dengan kaedah-kaedah baru, ibu yang bermasalah seperti ini juga boleh menyusu dengan berjaya. Dahulu, ibu digalakkan kerap membersihkan payu dara dengan air serta sabun. Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa sabun mengandungi bahan yang boleh menyebabkan bahagian areola kering dan merekah. Ketika menyusu, adalah normal jika ibu mendapati ada sedikit rembesan susu di sekitar puting dan areola. Tujuannya ialah untuk melindungi bahagian berkenaan daripada jangkitan. Oleh itu, cara terbaik untuk menjaga payu dara ialah mencucui dengan air bersih ketika mandi, kerap menukar baju dalam dan menukar pelapik baju dalam.

JADUAL PENYUSUAN
Bagi generasi yang lalu, bayi diberi susu pada jam 6.00 pagi, 10.00 pagi, dua petang, 6.00 petang dan 10.00 malam. Kini, terdapat pendekatan yang lebih mudah dan rileks. Ibu digalakkan menyusu berdasarkan permintaan bayi, biasanya dalam jangkamasa 2 ½ hingga 3 jam. Ini menjadikan bayi menyusu sebanyak 8-10 kali dalam tempoh 24 jam. Adalah penting untuk tidak memenuhkan perut bayi kerana sistem penghadamannya masih lemah. Jika dia menyusu dengan sedikit tetapi kerap, susu itu lebih mudah dihadam. Selepas susu dihadam, bayi akan meminta susu lagi. Anda mungkin tidak biasa dengan pendapat ini. Lebih-lebih lagi bila memikirkan bahawa cara ini akan menganggu ibu baru bersalin hendak berehat. Memang benar ibu bersalin perlu banyak berehat terutama pada waktu malam. Oleh itu, semasa di hospital, bayi diasingkan dari ibu dan dijaga di pusat jagaan bayi dengan adanya jururawat yang bertugas memberi susu botol kepadanya. Bagaimanapun, kini, kebanyakan ibu tidak gemar bayi mereka diasingkan dan diberi susu botol semasa di hospital. Pemberian susu botol dan pengasingan bayi menyebabkan mereka mengalami bengkak susu dan tidak dapat tidur lena di waktu malam kerana asyik teringatkan bayi masing-masing. Setiap kali terdengar bayi menangis daripada pusat jagaan bayi yang berdekatan, mereka tertanya-tanya adakah bayi yang sedang menangis itu bayi mereka?

KEBAIKAN MENYUSU BERDASARKAN PERMINTAAN BAYI

  • Penyusuan yang kerap dan tidak mengikut jadual terbukti telah berjaya mengurangkan masalah bengkak susu. Pengaliran susu ibu menjadi lancar dan mudah diubahsuai berdasarkan keperluan bayi. Cara ini pasti mengurangkan masalah payu dara menjadi keras, padat dan berdenyut.
  • Semakin banyak maklumat didedahkan mengenai keburukan susu lembu atau susu formula walaupun diberi dalam jumlah yang sedikit. Pemberian susu lembu terlalu awal akan menyebabkan bayi mudah mendapat alahan di kemudian hari. Oleh itu, bayi digalakkan menyusu susu ibu sepanjang masa tanpa mencampurkannya dengan susu formula yang lain.

Baru-baru ini, seorang nenek yang ditemui berpendapat bahawa bayi perlu diberi susu dengan kerap. Dia membandingkan bayi dengan orang dewasa. Katanya, sedangkan orang dewasa tidak boleh tahan jika tidak makan selama empat jam berturut-turut., inikan pula bayi sekecil itu. Setidak-tidaknya kita akan mencari makanan ringan seperti buah, biskut atau secawan kopi. Jika kita berasa begitu, lebih-lebih lagi bagi bayi yang mempunyai perut yang kecil.

Lazimnya, manusia tidak makan dalam kuantiti yang sama dan pada waktu yang sama setiap hari. Ada kalanya, kita berasa kurang selera makan dan makan dengan sedikit. Adakalanya kita makan dengan banyak. Waktu makan juga tidak begitu tepat setiap hari. Keadaan ini sama dengan bayi. Dia perlu diberi susu pada bila-bila masa dia lapar. Kita boleh mengetahui samada bayi mendapat cukup susu atau tidak dengan cara memeriksa berapa kali dia membuang air kecil, keadaan kulitnya dan samada dia sering meragam atau tidak.

BERJAGA MALAM

Kini, ibu semakin bersikap terbuka terhadap bayi yang suka berjaga malam dan bangun menyusu pada waktu malam. Dahulu, ibu mengharapkan bayi tidur nyenyak di waktu malam. Walaupun usia masih muda, mereka digalakkan mempunyai rutin tidur yang tetap dan berterusan. Anda mungkin masih ingat akan nasihat yang menyuruh anda "membiarkan bayi menangis" jika dia tidak mahu menuruti pola dan waktu tidur yang telah ditetapkan ke atasnya. Keadaan ini bukan lah jalan untuk menyelesaikan masalah bayi. Malah akan memberi tekanan kepadanya. Pengalaman demi pengalaman menunjukkan bahawa jika ibu berjaya menuruti kemahuan menyusu dan emosi bayi, bayi itu akan lebih mudah membesar dengan selamat, berdikari dan mempunyai emosi yang stabil. Keperluan bayi boleh dipenuhi dengan penyusuan yang kerap samada di waktu malam atau siang. Kadang kala bayi perlukan lebih belaian, menyusu sedikit di sana sini, atau tidur di katil ayah dan ibu untuk sementara waktu. Cara ini dapat memenuhi keperluan asas bayi iaitu mahukan makanan dan belaian kasih sayang. Kini, pendapat yang menyuruh kita membiarkan anak "menangis sendirian" jika dia enggan menurut rutin yang ditetapkan oleh ibu bapa adalah tidak lagi releven.

PERMINTAAN DAN PENAWARAN

Penyusuan yang berjaya adalah berlandaskan prinsip permintaan dan penawaran. Semakin banyak bayi menyusu, semakin banyak lah susu dihasilkan oleh payu dara. Prinsip ini mudah. Jika ibu mempunyai terlalu banyak susu, bayi akan kurang meminta susu kerana dia berasa kurang lapar akibat sudah meminum banyak susu setiap kali penyusuan. Oleh itu, secara automatik susu ibu akan berkurangan kerana bayi kurang menghisap pada payudara. Dalam kes lain, jika ibu mendapati susunya berkurangan, bayi akan kerap meminta susu kerana mudah berasa lapar. Oleh itu, apabila bayi kerap menghisap pada payu dara, susu akan kembali bertambah. Ini lah cara semulajadi yang ditentukan oleh Tuhan mengenai bagaimana badan ibu boleh menyesuaikan dengan kehendak bayi. Rangsangan hisapan bayi pada payu dara menjadikan susu mengalir keluar dengan lebih banyak.

PERTAMBAHAN SELERA

Biasanya, sekitar usia tiga minggu, enam minggu dan tiga bulan, kebanyakan bayi akan mengalami pertambahan selera. Ini menandakan bahawa sistem dalam badan bayi semakin matang dan mahukan lebih makanan. Mereka kerap lapar. Ibu yang menyusu bayi dengan susu botol akan menambah jumlah susu yang diberi. Ada juga yang menasihatkannya supaya mula memberi makanan pepejal. Nasihat ini tidak boleh diikuti. Cara terbaik untuk membolehkan bayi yang menyusu susu ibu mendapat lebih susu ialah dengan menyusu sekerap mungkin. Cara ini akan merangsang pengaliran susu berdasarkan prinsip penawaran dan permintaan. Tambahan masa menyusu akan menghasilkan lebih banyak susu. Biasanya, dalam masa sehari atau dua, badan ibu mulai diselaraskan dengan keperluan baru bayi. Susu ibu akan bertambah dan bayi akan kembali "gembira" seperti sebelum ini. Menyorot kembali idea menyusu setiap empat jam sekali, kita mendapati cara itu mudah membuatkan ibu "kehilangan" susu ketika bayi berusia enam minggu dan tiga bulan. "Kehilangan susu" mungkin berpunca daripada ibu terus menyusu mengikut jadual empat jam sekali sedangkan waktu ini bayi perlu diberi susu setiap dua jam. Pada peringkat ini, ibu menyangka susunya mula berkurangan dan dia mula terfikir hendak mencampurkannya dengan susu botol. Oleh kerana susu formula mengambil masa yang lama untuk hadam, bayi akan kurang berasa lapar dan tidur dengan lebih lama, mungkin melebih empat jam. Ini menyebabkan payu dara ibu kurang mengalami rangsangan hisapan berbanding sebelum ini. Hari demi hari, bayi semakin banyak menghisap susu botol manakala payu dara ibu semakin hilang ransangan yang diperlukan. Akibatnya, susu menjadi semakin kering dan kemudiannya hilang. Bayi pula akan mendapat susu botol sepenuhnya. Jika anda mendapati cucu anda kerap meminta susu, beri galakan kepada anak atau menantu anda agar menyusu dengan kerap. Pada peringkat ini anda boleh membantunya menguruskan kerja-kerja rumah dan memasak makanan untuk ahli keluarga lain.