|
|
MEMPERKENALKAN MAKANAN PEPEJAL DAN AIR Kajian mendapati amalan popular iaitu memberi bayi makanan pepejal atau jus buah-buah pada usia terlalu muda (enam minggu hingga tiga bulan) adalah membahayakan bayi. Makanan pepejal sepatutnya diberi ketika bayi berusia enam bulan. Makanan pertama yang sesuai ialah pisang dan epal. Susu ibu membekalkan semua khasiat yang diperlukan bayi sejak lahir sehinggga berusia enam bulan. Bagaimanapun, pemberian makanan pepejal yang terlalu awal akan membahayakan sistem penghadaman bayi yang belum matang dan boleh menyebabkan alahan. Dahulu, makanan pertama yang sering dicadangkan ialah susu lembu, bijirin, jus oren dan telur. Tapi kini makanan-makanan ini dikenalpasti sebagai punca utama penyakit alahan. Bayi menyusu susu ibu mendapat semua Vitamin C yang diperlukan daripada ibunya selagi ibunya mengambil Vitamin C setiap hari melalui makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, salad dan jus. Ibu tidak perlu mengambil jus oren berlebihan atau makan pil Vitamin C. Ibu perlu mengelakkan makanan-makanan tradisional yang boleh membahayakan sistem penghadaman bayi. Begitu juga dengan minuman seperti te h, ais krim dan alkohol. Dalam cuaca panas, bayi mudah terasa dahaga. Namun, bayi tidak perlukan air tambahan. Penyusuan yang kerap dan singkat hanya satu-satunya cara untuk menghilangkan dahaga bayi. BILA HENDAK MENCERAI SUSU Persoalan ini adalah persoalan peribadi setiap ibu. Kini, ibu menyusu dalam tempoh lebih lama. Beberapa tahun kebelakangan ini, orang berpendapat bayi yang menyusu susu ibu sehinggga besar akan menjadi terlalu bergantung kepada ibu dan tidak mampu berdikari. Bagaimanapun, laporan daripada ibu yang menyusu anak yang lebih besar mengesahkan perkara yang sebaliknya. Bagi anak yang besar, daya hisapan mereka lebih kuat. Sesetengah ibu menyusu dalam jangkamasa lebih lama. Susu ibu sentiasa berkhasiat tanpa mengira usia bayi. Ibu tidak perlu mencerai susu dengan tergesa-gesa biarpun waktu itu bayi mulai tumbuh gigi atau ketika ibu hamil anak seterusnya. DI MANA PERLU MENYUSU? Adalah baik bagi ibu muda diberi ruang menyusu di mana sahaja, tanpa berasa perlu berselindung-selindung di dalam bilik atau tempat tertutup. Galakan anak atau menantu anda menyusu cucu secara terbuka di kalangan ahli keluarga pada bila-bila masa bayi perlukannya. PENCEGAH HAMIL Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ramai yang percaya bahawa tidak ada ibu menyusu yang akan hamil lagi dalam tempoh menyusu. Penyusuan susu ibu sepenuhnya akan melambatkan kedatangan haid. Bagaimanapun, tidak ada jaminan yang ibu tidak akan hamil. Jika anak atau menantu membincangkan hal ini dengan anda, minta dia mendapatkan nasihat doktor atau pakar daripada klinik perancang keluarga. BEG KENDONG "MEH TAI" Anda mungkin melihat ada ibu-ibu yang membawa bayi dalam beg kendong dan tertanya-tanya samada bayi berasa selesa atau tidak berada di dalamnya. Ramai yang berpendapat beg kendong tidak selesa untuk bayi dan membahayakan. Sebenarnya, beg kendong Meh Tai telah diluluskan oleh pakar perubatan. Ia amat selesa sekiranya diikat dengan betul. Ia amat membantu ibu yang sibuk dan bayi meragam yang perlukan layanan ibu. Ibu boleh mengikatnya dengan kemas di dada dan pastikan kedua-dua tangan selesa untuk membuat kerja-kerja lain. Beg kendong ini sesuai dijadikan hadiah untuk bayi baru lahir. LATIHAN KE TANDAS Dalam soal ini, idea-idea mengenainya turut berubah. Beberapa tahun dahulu, ibu menetapkan bahawa anak perlu dilatih ke tandas ketika usia 12 hingga 15 bulan. Ibu akan terasa tidak tenang jika mempunyai anak yang tidak mahu patuh pada latihan. Dahulu, sejak lahir bayi ditekankan agar mempunyai rutin dan jadual tertentu. Latihan ke tandas amat baik untuk zaman dahulu kerana waktu itu ibu masih belum mempunyai mesin pembasuh dan lampin pakai buang. Kini, ibu-ibu mulai bersikap ambil ringan dalam soal ini. Anda tidak perlu bimbang. Anda perlu banyak bersabar walaupun anda rasa cucu anda terlalu dewasa untuk membuang air di dalam lampinnya. Lama kelamaan, cucu anda akan menjadi matang dan akan pandai ke tandas dengan sendirinya. Yang penting, jangan berikan tekanan dan harapan yang terlalu tinggi kepada anak-anak kecil. |
||||||||||||
|
|