|
S: Betulkah menyusu
bayi akan menjejaskan bentuk payudara?
J: Semasa hamil, ibu digalakkan
berjumpa doktor untuk pemeriksaan payudara. Gunakan baju
dalam yang boleh menyokong payudara dengan baik supaya
mengikuti perubahan pada payudara semasa hanil. Menyusu
anak tidak menyebabkan payudara menjadi kendur. Bagaimanapun,
kurang jagaan semasa hamil menyebabkan payudara menjadi
kendur.
S: Apakah persediaan
yang perlu dibuat semasa hamil?
J: Memakai baju dalam yang boleh dibuka dari depan (nursing
bra) boleh membantu ibu menyusu dengan selesa dan mudah.
· Elak menggunakan sabun untuk membersihkan puting payudara.
Penggunaan sabun akan mengakibatkan kekeringan di kawasan
puting dan areola. · Ibu perlu membersihkan puting setiap
kali selepas mandi. Menggosok dan mengurut puting secara
perlahan boleh diamalkan sebagai persediaan untuk menyusu
ketika bersalin kelak · Buat pemeriksaan samada puting
rata atau tenggelam. · Banyak bersenam seperti berjalan-jalan.
· Banyak makan makanan seimbang.
S: Bilakah saya harus
mula menyusukan bayi selepas bersalin?
J: Waktu terbaik untuk memulakan penyusuan ialah
selepas kelahiran dan perlu dilakukan secepat mungkin
jikalau ibu mampu melakukannya. Meletakkan bayi ke dada
ibu sebaik sahaja bayi lahir adalah satu pengalaman yang
cukup berharga. Dalam tempoh dua jam selepas bayi lahir,
kemampuan menghisap berada pada tahap yang tinggi. Sesetengah
bayi tidak berminat hendak menyusu sebaik sahaja lahir.
Jangan bimbang jika mendapati bayi mengantuk, membiarkan
dirinya dibelai atau dilihat sahaja. Mungkin, selepas
itu, baru dia berkeinginan hendak menyusu. Hisapan bayi
pada payudara merangsang pengeluaran hormon yang akan
menjadikan rahim menguncup. Ini menolong meyembuhkan sakit
selepas bersalin.
S: Apakah dia kolostrum?
J: Kolostrum dikeluarkan oleh payudara ketika bulan-bulan
terakhir kehamilan. Ia kaya dengan protin dan anti-bodi
yang dapat memberikan perlindungan kepada bayi dari segi
jangkitan penyakit. Pada peringkat awal, bayi hanya memerlukan
kolostrum sahaja.
S: Bagaimanakah cara
meletakkan bayi pada payudara?
J: · Pegang bayi dengan selesa, rapatkan pada payudara
dan mengadap badan ibu. Dadanya perlu mengadap dada ibu
dan dagunya perlu berada di atas payudara. Picit puting
agar keluar beberapa titisan kolostrum pada puting itu
bagi membolehkan bayi merasa atau menghidunya. Ampu payudara
dengan sebelah tangan dan sentuh bibir bayi dengan lembut
menggunakan puting. Dengan cara ini, bayi akan membuka
mulutnya. Beberapa minit kemudian, mulutnya akan terbuka
lebih luas. Selepas itu, masukkan puting secara perlahan-lahan
ke dalam mulutnya. Masukkan sebahagian besar areola (kawasan
hitam pada payudara) ke dalam mulutnya. · Pastikan bayi
boleh bernafas ketika menyusu dan lidahnya berada dibawah
puting ibu. · Pastikan penyusuan tidak menyebabkan rasa
sakit. Jika terasa sakit, mungkin ada langkah yang tidak
betul.
S: Apakah yang disebut
'Demand Feeding' atau 'permintaan menyusu'
J: Kajian menunjukkan bahawa faktor paling penting untuk
menghasilkan susu ialah membenarkan bayi menyusu sebaik
sahaja selepas lahir. Ibu yang mula menyusu sebaik sahaja
selepas bersalin akan cenderung untuk terus menyusu dengan
berkesan. Bila penyusuan lewat dimulakan, kebanyakan ibu
akan berasa putus asa untuk meneruskan penyusuan. Oleh
itu, membantu ibu memulakan penyusuan secepat mungkin
adalah satu cara yang paling berkesan bagi seseorang untuk
membantu ibu menyusu. Perkara lain yang tidak kurang penting
ialah menggalakkan ibu menyusu sekerap mungkin atau selama
mungkin. Ini disebut "permintaan menyusu" (demand) tidak
perlu dihadkan berapa lama tempoh menyusu dan jarak diantara
setiap penyusuan. Meletakkan bayi dekat dengan ibu didalam
bilik yang sama akan menjadikan keinginan menyusu semakin
meningkat dan mudah. Kini, semakin banyak hospital mendapati
cara ini amat praktikal.
S: Kenapa menyusu awal
itu penting?
J: Hisapan di peringkat awal amat penting kerana:-
1. Dapat merangsang pengeluaran susu. 2. Dapat melindungi
bayi dari jangkitan. Ketika bayi menyusu di hari-hari
permulaan kelahirannya, dia akan menerima kolostrum yang
berwarna kekuningan. Kolostrum ini dan susu sebenar yang
keluar beberapa hari kemudian, mengandungi kandungan anti-jangkitan
yang tinggi seperti immunoglobulins dan sel-sel putih
yang menjadi sumber perlindungan utama daripada jangkitan.
Apabila berinteraksi dengan para ibu, anda perlu menekankan
bahawa bayi yang menyusu dengan susu ibu adalah lebih
sihat dan kurang terkena cirit-birit atau penyakit lain.
Sebab kedua kenapa penyusuan awal amat penting ialah kerana
ia akan merangsang pengeluaran awal susu. Lebih banyak
bayi menghisap payu dara, lebih banyak susu akan dihasilkan
kemudiannya.
S: Kenapa bayi tidak
diberi susu formula atau air sementara menunggu terbitnya
susu ibu?
J: Penting untuk mempastikan bahawa bayi tidak diberi
apa jua penyusuan jenis lain kerana ia akan mengganggu
penyusuan susu ibu. Jumlah kolostrum yang sedikit dan
susu awal yang diperolehi oleh bayi dari payudara adalah
mencukupi untuk tempoh beberapa hari sehingga susu ibu
keluar sepenuhnya dalam kuantiti yang lebih banyak.
S: Kenapakah bayi yang
baru lahir menyusu dengan kerap?
J: Pada peringkat awal, bayi kelihatan ingin menyusu dengan
kerap dan ibu menjadi letih untuk melayan permintaannya.
Pada waktu ini, peranan dan sokongan anda dan ahli keluarga
sangat-sangat diperlukan. Anda perlu menyakinkan si ibu
bahawa dia perlu meluangkan banyak masa dengan menyusu
bayi dalam tempoh dua, tiga atau empat hari yang pertama.
Jika dalam tempoh berkenaan, dia kerap melayan permintaan
bayi untuk menyusu, susunya akan menjadi semakin banyak
dan bayi akan lebih mudah menghisap di kemudian hari.
Jika ibu hendak menjarakkan masa antara penyusuan, tempoh
maksimum yang biasa dicadangkan ialah tiga jam. Jika jarak
antara penyusuan terlalu lama iaitu melebihi empat jam,
bayi akan kelihatan meragam dan tidak senang.
S: Berapa lamakah saya
harus menyusu pada sebelah payu dara?
J: · Paling baik ialah memberikan penyusuan yang singkat
tetapi kerap kerana cara ini dapat membuatkan susu keluar
dengan lebih cepat dan meningkatkan kuantiti susu ibu.
Ia juga memberi peluang kepada puting untuk menyesuaikan
dengan hisapan bayi. · Keinginan bayi menyusu boleh dijadikan
sebagai panduan kepada ibu. Bayi akan menentukan dengan
sendiri bila masanya dia ingin menyusu. Melalui cara ini,
bayi akan menghisap sebelah payudara sehingga susu di
payudara sehingga payudara itu kosong Ini membolehkan
dia mendapat khasiat susu yang kaya dan berkrim yang terhasil
di hujung setiap penyusuan. Susu yang keluar di "akhir"
setiap penyusuan digelar "hind milk". Susu "akhir" ini
mengandungi khasiat lemak yang diperlukan untuk pembesaran
bayi. · Beritahu para ibu supaya menyusu bayi menggunakan
payudara yang sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan
berikutnya. Bayi akan menunjukkan tanda-tanda samada hisapan
pada sebelah payudara sahaja mencukupi atau tidak. Jika
ia mencukupi, bayi akan menarik mulutnya keluar atau pun
tertidur dipayudara ibu. Jika bayi masih terjaga atau
aktif mencari payu dara, ini bermakna dia perlukan susu
lagi. Oleh itu, berikan payudara yang sebelah lagi. Di
saat-saat awal kelahirannya, seseorang bayi memerlukan
penyusuan yang kerap dan banyak bagi menjamin tumbesarannya.
S: Bagaimana mengatasi
masalah bayi yang tidur dan tidak mahu menyusu?
J: Sesetengah bayi sentiasa dalam keadaan mengantuk dan
lebih banyak tidur daripada berjaga. Bayi seperti ini
perlu dikejutkan untuk penyususan. Dalam tempoh 24 jam,
adalah biasa bagi seorang bayi untuk menyusu sebanyak
12 kali atau lebih. Sekurang-kurangnya, bayi perlu mendapat
6 atau 7 penyusuan sehari. Bayi yang sentiasa mengantuk,
mungkin disebabkan oleh jangkamasa bersalin yang lama
atau kesan ubat-ubatan yang diberikan kepada ibu ketika
proses bersalin.
S: Apakah dia rooming-in?
J: Galakan ibu agar berada di bilik yang sama dengan bayi
bagi membolehkan ibu menyusu atau membelai bayinya. Penyusuan
pada waktu malam amat penting bagi bayi dan ibu. Ibu mendapat
faedah dari segi rangsangan pengeluaran susu yang berkesan.
Jika bayi diberi susu sebaik sahaja dia terjaga, bayi
itu tidak akan mengganggu ibu-ibu lain hendak tidur. Secara
alternatif, jika bayi berada di dalam pusat penjagaan
bayi di hospital, ibu boleh meminta agar bayi dibawa kepadanya
sebaik sahaja bayi terjaga.
S: Bilakah susu mula
dihasilkan?
J: Diantara hari pertama dan keempat selepas kelahiran,
susu sebenar yang berwarna putih akan mula dikeluarkan.
Pada peringkat ini, kolostrum akan bercampur dengan susu
baru, menjadikan ia kelihatan pekat dan berkrim. Secara
perlahan-lahan iaitu kira-kira seminggu kemudian, kolostrum
akan berkurangan dan susu kelihatan lebih cair, kebiruan
dan berkeadaan seperti air. Ini rupa susu ibu yang sebenar.
· sesetengah ibu mendapati payudara mereka penuh dan berat.
Ini dipanggil bengkak susu. · sesetengah bayi akan kehilangan
berat badan dalam tempoh beberapa minggu pertama. Bagaimanapun,
berat bayi akan meningkat sebaik sahaja payudara ibu mula
menghasilkan susu.
S: Bagaimana saya boleh
mengatasi masalah letih/pucat selepas bersalin.
J: Galakkan ibu supaya meringankan kerja-kerja rumah.
Jangan berlebihan melakukannya. Cuba dapatkan bantuan
daripada kawan-kawna dan saudara mara pada minggu pertama
dan seterusnya. Ibu akan mudah berasa letih. Ia mengambil
masa beberapa minggu untuk pulih seperti asal. Lebih baik
berehat secukupnya pada waktu siang. Pada peringkat awal,
tugas menjaga bayi tanpa mengira siang atau malam adalah
agak berat bagi ibu. Minggu terawal berada di rumah adalah
waktu yang amat penting untuk ibu dan bayi. Inilah masanya
ibu dan bayi membentuk hubungan kasih sayang yang kukuh
antara satu sama lain. Ingat! Soal bayi lebih penting.
Perkara lain boleh diketepikan untuk sementara waktu.
Pada waktu ini, ibu mungkin terasa tidak berminat hendak
keluar rumah. Ibu memang digalakkan menyendiri di rumah.
Jika ibu terasa tidak berminat hendak keluar rumah, dia
boleh keluar bersama bayi tanpa perlu bersusah payah membawa
botol dan susu formula. Sesetengah ibu bimbang sekiranya
susu akan berkurangan di peringkat awal. Ini kerana dia
kurang mengalami bengkak susu dan susu kelihatan cair.
Anggapan ini tidak benar. Ibu harus ingat bahawa jika
dia menyusu setiap kali bayi memintanya, susunya akan
sentiasa berada dalam keadaan mencukupi untuk bayi.
S: Bagaimana mempastikan
bayi mendapat cukup susu?
J: Jika ibu menyusu bayi berdasarkan keperluan bayi dan
dengan kerap, ibu pasti akan mengeluarkan susu secukupnya.
Cara mengenalpasti ialah:- · Bayi membuang air sebanyak
7 hingga 8 kali sehari (hanya dengan meminum susu ibu
sahaja tanpa mencampurkannya dengan jus atau susu (formula)
· Berat badan bayi bertambah. Berat mingguan perlu diperiksa
sepanjang bulan. · Bayi membuang air besar dalam kadar
yang tetap. Tetapi tidak semestinya setiap hari. Sesetengah
bayi pula membuang air besar dengan kerap. Manakala ada
yang tidak membuang air besar selama seminggu. · Mata
bayi kelihatan bercahaya. Kullit dan ototnya kelihatan
berada dalam keadaan baik.
S: Apakah cara yang
harus saya ikuti untuk menentukan kejayaan menyusu bayi?
J: Pastikan ibu berada dalan keadaan selesa dan tenang
ketika menyusu bayi. Ibu akan tahu bahawa susunya sudah
keluar dalam tempoh kira-kira satu atau dua minit selepas
bayi mula menghisap. Ini berdasarkan:- · Pola hisapan
bayi akan berubah kepada "hisap dan telan - hisap dan
telan". Ini bermakna bayi sedang minum susu ibu. Keadaan
ini PASTI AKAN SENTIASA berlaku setiap kali bayi menghisap.
· Payudara akan menjadi suam panas dan seperti penuh.
Ibu akan terasa kawasan sekeliling payudara berdenyut
sedikit. Pada masa yang sama, susu dari payudara sebelah
lagi mungkin turut menitis keluar. Bagaimanapun, keadaan
ini JARANG berlaku setiap kali penyusuan.
S: Bagaimana jika susu
tidak cukup?
J: Kadangkala, ibu beranggapan bahawa pengaliran susu
amat kurang dan tidak mencukupi untuk bayi. Sebenarnya,
anggapan ini salah. Ibu perlu yakin bahawa susu ibu adakah
makanan terbaik untuk bayi. Jika ibu terasa susunya kurang,
dia boleh menambahnya dengan cara: · menyusu dengan lebih
kerap. Lebih banyak bayi menghisap pada payudara, lebih
banyak susu akan dihasilkan. KEKERAPAN MENYUSU AKAN MENGHASILKAN
LEBIH BANYAK SUSU. · Bertenang ketika menyusu akan membantu
susu mengalir dengan baik. Ibu boleh makan makanan ringan,
minum, membaca buku, mendengar muzik, menonton TV atau
melakukan senaman pernafasan ketika bayi mula menyusu.
Tumpukan perhatian kepada otot-otot. Cara ini juga boleh
menjadikan ibu tenang. · Berehat pada waktu siang. Ibu
perlu tidur lebih di siang hari bagi menggantikan gangguan
tidur di waktu malam kerana bayi hendak menyusu. Menjaga
bayi baru lahir adalah satu tugas yang meletihkan. Ibu
perlu menggalakkan bayi dan anak kecil yang lain tidur
bersamanya pada waktu tengahari. · Makan makanan berkhasiat.
Ibu perlu makan makanan seimbang. Bukan makanan ringan
atau yang tidak berkhasiat.
S: Kenapa susu saya
kelihatan cair?
J: Jika bayi kelihatan meragam dan tidak puas hati, dia
mungkin tidak menerima susu yang kaya dan berkrim di hujung
penyusuan. Susu ini dipanggil "susu akhir" atau "hind
milk". Cara terbaik untuk memperbetulkan masalah ini ialah
dengan memberikan susu dengan sebelah payudara sahaja
setiap kali menyusu. Cara ini dapat mempastikan yang bayi
menerima semua peringkat susu ibu iaitu "susu pertama",
"Susu pertengahan" dan "susu akhir". "Susu pertama" atau
"fore milk" yang berwarna kebiruan dan kelihatan seperti
air biasa bertujuan untuk menghilangkan dahaga. "Susu
pertengahan" mengandungi lebih khasiat protin. Manakala
"susu akhir"kelihatan lebih pekat dan berkrim kerana kaya
dengan khasiat lemak. Bayi perlukan "susu akhir" untuk
membolehkan berat badannya meningkat. Cara ini baik untuk
membantu bayi yang kurang berat badan menambah berat badannya.
Pastikan ibu mengingati yang dia perlu menyusu dengan
payudara sebelah lagi apabila tiba waktu penyusuan berikutnya.
Ibu boleh lekatkan pin pada baju dalam untuk memudahkan
dia mengingatinya. Bayi yang kurang berat badan sejak
lahir memerlukan penyusuan yang kerap sepanjang waktu
siang dan malam.
S: Susu saya mengalir
dengan pantas, menyebabkan bayi saya seing tersedak, bagaimana
saya mengatasi masalah ini?
J: Jika bayi sering tersedak kerana susu mengalir terlalu
pantas, ibu boleh melakukan perkara di bawah: · Hentikan
penyusuan selama satu minit. Kemudian, masukkan semula
puting ke mulut bayi apabila pengaliran susu semakin perlahan.
Untuk menarik keluar mulut bayi tanpa menyebabkan puting
sakit, ibu boleh masukkan jari bersih di hujung mulut
bayi. Satu cara lain untuk mengatasi masalah ini ialah
dengan memerah susu terlebih dahulu bagi mengeluarkan
pengaliran susu yang pantas itu. · Menyusu pada kedudukan
berbaring dengan meletakkan bayi di atas dada ibu akan
menyebabkan bayi menghisap susu naik ke atas. Ini bermakna
bayi menghisap kearah bertentangan dengan graviti. Oleh
itu, pengaliran susu naik ke atas menjadi agak lambat
berbanding pengaliran susu turun ke bawah. · Ibu mungkin
menggunakan kaedah menyusu cara ini di waktu awal pagi
atau di waktu permulaan penyusuan sahaja dimana pada waktu
itu susu biasanya mengalir dengan pantas. Apabila tiba
di akhir penyusuan, ibu boleh bertukar kepada menyusu
cara duduk. Cara ini lebih menjamin payudara dapat dikosongkan
dengan sempurna. · Menyusu pada kedudukan baring akan
mengurangkan pengaliran susu. Jadi pastikan ibu sentiasa
memriksa keadaan bayinya. Jika bayi tidak perlu menyusu
dalam kedudukan ini, lebih baik menyusu cara duduk.
S: Saya dapati susu
meleleh dan membasahi baju, apa yang harus saya lakukan?
J: Pada peringkat awal, ibu mengalami masalah susu sering
meleleh keluar dari payu dara di waktu-waktu antara penyusuan.
Masalah ini akan berkurangan apabila payudara dapat menyesuaikan
dengan jadual penyusuan dan otot-otot di sekitar puting
berupaya mengawal pengaliran keluar susu di waktu-waktu
berkenaan. · Cuci payudara menggunakan air suam atau sejuk
dan cuci lelehan itu agar ia tidak mengotorkan baju atau
baju dalam. Penting untuk menukar pelapik baju dalam dengan
kerap agar puting tidak sakit atau berada dalam keadaan
lembab. Jangan gunakan pelapik plastik. Selain pelapik,
baju dalam, ibu digalakkan menggunakan saputangan tetapi
tidak di galakkan menggunakan tisu. · Ketika menyusu,
alaskan dengan lampin bersih atau cawan agar susu boleh
meleleh ke dalamnya. Seelok-eloknya, jangan pakai baju
dalam agar susu boleh mengalir bebas.
S: Apa yang dikatakan
"keliru puting" yang menyebabkan bayi enggan menyusu?
J: Punca utama kenapa bayi enggan menyusu ialah bayi terlebih
dahulu di beri susu botol sewaktu di hospital. Bayi menjadi
keliru dengan kelainan puting ibu dan tidak mahu menghisap
dengan betul di payu dara ibu. Dia sukar hendak belajar
memasukkan puting kedalam mulutnya. Dalam kedudukan menghisap
yang baik, puting dan areola akan meregang keluar bagi
membentuk seolah-olah satu puting yang panjang di dalam
mulut bayi. Lidah bayi akan menekan areola ke atas sehingga
terkena lelangit mulutnya. Cara ini akan menyebabkan susu
mengalir keluar. Dalam kedudukan menghisap yang tidak
baik, puting tidak berada cukup jauh ke dalam mulut bayi.
Bayi hanya menghisap hujung puting sama seperti kaedah
menghisap puting botol. Dengan cara ini, susu tidak akan
keluar. Malah akan menyebabkan puting ibu terasa sakit.
Kekeliruan terhadap puting terjadi apabila bayi diberikan
sekali atau dua kali penyusuan menggunakan botol. Jika
ibu mencampurkan susu ibu dan susu botol, bayi mungkin
mempunyai kecenderungan untuk memilih susu botol dan menolak
susu ibu.
S: Bagaimana jika bayi
mengalami sakit tumbuh gigi dan enggan menyusu?
J: Jika bayi mendapat sakit mulut dan enggan menyusu,
jangan paksa dia menyusu. Tunggu sehingga dia bersedia
untuk menyusu. Dalam masa itu, perah susu untuk menjamin
kelancaran pengaliranya. Kemudian, cuba letakkan bayi
ke payudara. Dengan cara ini, bayi akan merasai pengaliran
susu masuk ke mulutnya dengan cepat. Malah, selepas beberapa
minit menghisap, bayi sudah dapat merasai sedikit susu
masuk ke mulut. Cadangkan ke ibu agar:- · Bawa bayi berjumpa
doktor untuk mendapatkan pemeriksaan mulut, kerongkong
dan telinga. Keengganannya mungkin disebabkan dia sakit.
Dapatkan ubat yang boleh melegakan gusinya yang sakit.
· Jika bayi masih tidak mahu menyusu, perah susu dan berikan
susu itu menggunakan sudu, cawan atau penitis ubat. Selepas
beberapa hari, bayi akan kembali menyusu di payudara.
· Cuba menyusu di waktu bayi sedang tidur atau mengantuk.
Pada waktu ini, bayi tidak begitu sedar dan akan menghisap
dengan baik. · Cuba menyusu di dalam bilik yang sunyi
dan jauh dari gangguan. Cuba menyanyi dan mendodoikan
bayi. · Apabila bayi kembali menyusu di payudara, ibu
perlu menyusu dengan kerap selama beberapa hari bagi menambah
semula pengaliran susu yang terbantut ketika bayi enggan
menyusu sebelum ini.
S: Saya dapati susu
saya berkurangan selepas mengambil pil perancang, apa
harus saya buat?
J: Pil perancang boleh menybabkan susu ibu berkurangan.
Kadang kala, bayi enggan menyusu kerana perubahan rasa
pada susu ibu yang di sebabkan oleh perubahan hormon setelah
memakan pil. Jika ibu memberitahu anda yang dia memakan
pil dan bayi mula cerewet setiap kali waktu menyusu atau
tidak mahu menyusu sama sekalli, anda perlu merujuk ibu
berkenaan kepada doktor atau klinik perancang keluarga
agar ibu boleh mendapatkan kaedah perancang yang lain.
Kadang kala, bayi enggan menyusu selepas berusia enam
menggu. Ini mungkin berkaitan dengan pemeriksaan doktor
selepas ibu tamat tempoh berpantang dan pengambilan pil
selepas pemeriksaan itu.
S: Bolehkah saya menyusu
jika puting saya rata?
J: Bayi masih boleh menyusu walaupun puting ibu rata atau
tenggelam. Puting yang rata boleh dikeluarkan menggunakan
ibu jari dan jari telunjuk atau menggunakan pam payudara
sebelum penyusuan. Selepas ia ditarik keluar, puting akan
cepat-cepat dimasukkan ke dalam mulut bayi. Puting akan
berada dalam keadaan lebih baik tidak lama selepas bayi
mula menghisap. Lama kelamaan, hisapan bayi akan menyebabkan
puting yang rata atau tenggelam menjadi timbul. Dalam
soal ini, ibu boleh berjumpa dengan Kaunselor PPPIM.
S: Bagaimana jika saya
membawa bayi keluar dan saya harus menyusu?
J: Bayi yang menyusu susu ibu mudah keluar dari rumah
bersama ibu. Selalunya, bayi akan di bawa ke tempat-tempat
yang memudahkan dia menyusu di mana sahaja. Biasanya,
pusat membeli-belah ada menyediakan bilik yang sesuai
untuk para ibu menyusu anak. Jika ibu terpaksa keluar
tanpa membawa bayi bersamanya, ibu perlu memerah susunya
dan diberi kepada bayi menggunakan sudu atau cawan.
PERSATUAN PENASIHAT DAN PAKAR LAKTASI MALAYSIA
7A, Jalan Kolam Air, Kg Klang Gate Baru,
53100 Kuala Lumpur
TEL: 03 - 4107 3678 / Faks: 03 - 4107 2862
E-mel: ppplm@susuibu.org / Website: www.susuibu.org
|
|